SELAMAT DATANG KE KB MAJU JAYA

Thursday, April 16, 2009

Noh Cadang Insurans Untuk Ternakan, Tanaman Diwujudkan

BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mewujudkan insurans bagi ternakan dan tanaman untuk membantu pengusaha yang kerugian akibat hasil keluaran musnah dalam kejadian banjir atau wabak penyakit.

Menteri berkenaan Datuk Nor Omar berkata skim insurans perlu supaya petani atau penternak terlibat mempunyai sedikit modal untuk memulakan kembali tanaman atau ternakan mereka.

Katanya pada masa ini Agro Bank dengan kerjasama sebuah syarikat juru perunding sedang mempertimbangkan idea itu dan menyediakan kertas kerja bagi melihat sama ada skim insurans berkenaan boleh dilaksanakan atau tidak.

"Saya sudah lama mencadangkan kepada kerajaan supaya skim insurans diwujudkan bagi membantu petani atau penternak yang terjejas dengan bencana alam atau serangan wabak penyakit. Saya harap perkara ini dapat diperhalusi dan boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Tanaman Peringkat Kebangsaan di sini, Ahad.

Noh berkata buat permulaan perbincangan sudah dimulakan untuk dua projek perintis iaitu ternakan ayam di Johor serta tanaman padi di Kedah dan Agro Bank dijangka membentangkan hasil perbincangan kepada beliau tidak lama lagi.

"Apa yang penting, biarlah idea ini tidak membebankan petani dan penternak dan kajian terperinci harus dibuat mengenai jumlah premium faeadah dan juga kesan negatif jika ada sebelum dilaksanakan.

"Saya tidak mahu niat untuk membantu rakyat ini akhirnya menjadi beban dan menyusahkan mereka pula," katanya.

Program hari ini merupakan acara pertama dihadiri oleh Noh selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Jumaat lepas.

Meskipun belum memasuki pejabat, Noh memulakan tugasnya dengan mengadakan lawatan mengejut ke agensi-agensi kementerian dan agensi pertama yang dikunjunginya semalam ialah Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Antara tugas utama yang akan dilaksanakannya ialah memastikan fungsi kesemua 13 jabatan dan agensi kementerian itu diperkemaskan supaya lebih berkesan.

Bagi menjayakan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM), kerajaan menambah peruntukan bagi sektor pertanian daripada RM2,906.20 juta tahun lalu kepada RM2,924.15 juta tahun ini.

"Saya mahu setiap sen yang diperuntukkan itu sampai kepada golongan sasaran dan bekalan makanan negara benar- benar meningkat," katanya.

-- BERNAMA

Borang Pertanyaan