SELAMAT DATANG KE KB MAJU JAYA

Tuesday, February 10, 2009

Berita

Noh Tegur Peminjam Tekun Yang Liat Bayar Pinjaman

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar hari ini menegur sikap sebilangan peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) yang liat membayar balik pinjaman sehingga menjejaskan kelancaran tabung itu menyalurkan pinjaman kepada orang lain yang memerlukan.

Justeru beliau berharap mereka dapat membayar balik pinjaman setakat yang termampu terlebih dahulu supaya tidak menjejaskan peluang bakal peminjam lain.

Noh berkata peminjam yang bermasalah membayar balik pinjaman hendaklah berjumpa pegawai para pegawai Tekun dan Agro Bank untuk membincangkan jumlah pinjaman yang mampu dibayar supaya penjadualan semula bayaran dapat dibuat.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Keusahawan: Peluang Perniagaan dan Pembiayaan Modal di sini hari ini, Noh berkata kegagalan membayar pinjaman menyebabkan timbulnya rungutan Tekun lambat meluluskan pinjaman.

"Kalau semua peminjam ada semangat demikian (bayar pinjaman), maka tidak timbul lagi rungutan itu kerana perkara ini berlaku akibat jangkaan kutipan hutang dengan jangkaan duit yang kita nak bayar itu tak tercapai.

"Sebagai contoh kalau kutipan RM30 juta sebulan, tapi hanya dapat RM10 juta bermakna kita kekurangan RM20 juta utuk membuat pusingan pinjaman kepada peminjam baru," katanya.

Bagi peminjam yang membayar mengikut jadual pula, peminjam berkenaan akan diberi rebat dan diberi peluang untuk membuat pinjaman kedua, kata Noh.

"Jika dia patut habis (bayar) dalam tempoh tiga tahun, tapi dalam tempoh dua tahun dia bayar bagus, dia boleh pinjam untuk tambah lagi pinjaman dia. Ini satu galakan kepada peminjam untuk membayar hutang," katanya.

Sementara itu, Noh berkata kerajaan telah memberikan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk Agro Bank dan peruntukan tambahan RM50 juta untuk Tekun bagi tujuan pinjaman.

Menurut Noh, kedua-dua agensi ini bersama Persatuan Peladang Kawasan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) perlu menubuhkan satu jawatankuasa supaya agihan pinjaman dapat diberikan dengan lebih tersusun.

"Saya telah minta keutamaan diberikan dalam bentuk mentor mentee, dalam sistem rakan niaga ataupun ataupun melalui "anchor" tertentu dan juga dalam bentuk kontrak perladangan," katanya.

-- BERNAMA

___________________________________________________________________

Penemuan Baru Lindungi Spesis Ikan Air Tawar

JELEBU, 16 April (Bernama) -- Dua saintis dari Jabatan Perikanan Malaysia berjaya membuat penemuan baru bagi menyelamatkan dua spesis ikan air tawar tempatan yang kini hampir pupus.

Zulkafli Abd Rashid dan Chew Poh Chiang, yang membuat kajian ke atas ikan Kelah dan Temoleh, berjaya menemui proses untuk membiak benih kedua-dua ikan itu di dalam makmal dan juga cara menyimpan benih selama ratusan tahun dalam balang khas untuk kegunaan di masa depan.

"Penemuan ini merupakan satu cara untuk memastikan ikan-ikan yang dahulunya banyak dan dimakan setiap hari oleh nenek moyang rakyat negara ini, terus kekal sehingga ke generasi akan datang.

"Sekarang harganya (Temoleh) sangat mahal. Kalau pupus, anak cucu kita tidak dapat menikmati ikan ini lagi," kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd Karim kepada pemberita selepas merasmikan Bank Gene di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glemi Lemi di sini hari ini.

Melalui bank ini, benih-benih ikan dapat disimpan untuk memastikan keturunan ikan tidak terhapus. Zulkafli berkata kajian mereka mengenai teknik simpanan benih ikan sudah bermula sejak 2007.

"Untuk simpanan generasi akan datang, kita simpan benih ikan yang terancam dalam balang cyro di bawah suhu beku. Kita juga buat kajian untuk menghasilkan benih-benih ikan terancam ini melalui pengambilan sperma dari ikan jantan," katanya.

Menerusi bank simpanan benih ikan itu, pihaknya merancang untuk menghasilkan 10,000 benih ikan Kelah dan Temoleh setahun sebelum dibela menjadi ikan, katanya.

-- BERNAMA

__________________________________________________________________

Fama Wujudkan Pasar Tani Kekal Di Setiap Negeri

SEREMBAN, 5 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah pasar tani kekal di setiap negeri dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Pengarah Kanan Fama (Pembangunan Usahawan) Abd Wahid Mat Radzi berkata pasar tani kekal ini adalah dalam bentuk bangunan bagi membolehkan peserta pasar tani berniaga pada setiap hari.

"Pada masa sekarang, kita telah mempunyai tiga pasar tani kekal iaitu di Jerantut, Pahang dan Bukit Gambir, Muar, yang telah siap dibina pada tahun lepas dan Yan, Gua Cempedak, Kedah yang dibuka 1 April lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pengerusi dan anggota jawatankuasa pasar tani Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Katanya di antara negeri yang telah pun mempunyai tapak pasar tani kekal ialah di Seremban, Negeri Sembilan; Jalan Datuk Halimah, Johor Baharu dan Saujana Utama, Shah Alam.

Fama sedang meneliti negeri-negeri lain dan berharap untuk mendapatkan tapak yang sesuai untuk dijadikan pasar tani kekal.

Katanya peserta pasar tani kekal ini terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan berkemampuan yang tinggi serta mempunyai modal yang mencukupi bagi membolehkan mereka berniaga pada setiap hari.

Abd Wahid berkata sehingga kini terdapat 332 buah pasar tani di seluruh negara dengan 15,000 peserta termasuk 1,270 peserta di kalangan mahasiswa.

"Di sini kita lihat, kita telah memberi satu peluang pekerjaan kepada graduan kita yang melihat bahawa bidang perniagaan ini sebagai satu sumber pendapatan. Kita harap lebih ramai lagi graduan kita akan turut sama menyertai program ini (menjadi peserta pasar tani).

"Sebab itu dalam program kita, kita juga memanggil graduan ini untuk mengikuti kursus untuk merebut peluang pemasaran atau sama ada hendak berniaga atau pun hendak membuat aktiviti perniagaan lain. Fama akan memberi tumpuan kepada graduan yang berminat dalam bidang perniagaan ini," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata pada masa ini Fama mempunyai tiga pasar tani borong iaitu di Selayang yang melibatkan 53 orang peserta, di Puchong (41 orang peserta) dan di Yan, Gua Cempedak, Kedah (23 orang peserta).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Borang Pertanyaan